Isnin, 31 Disember 2012

KISAH ALLAH MENCIPTAKAN IZRAIL A.S


Malaikat Izrail a.s adalah salah satu di antara empat pembesar malaikat yang empat selain malaikat Jibrail a.s, Mikail a.s dan Israfil a.s. Dikenali malaikat maut kerana ia ditugaskan untuk mencabut nyawa makhluk-makhluk Allah S.W.T Malaikat Izrail diciptakan oleh Allah S.W.T dalam keadaan yang serupa dengan malaikat Mikail baik wajahnya, saiznya, kekuatannya, lisannya dan sayapnya. Semuanya tidak kurang dan tidak lebih.
Dari kepala hingga kedua telapak kakinya berbulu Za’faran dan di setiap bulu ada satu juta muka dan setiap satu juta muka mempunyai satu juta mata dan satu juta mulut. Setiap mulut ada satu juta lidah, setiap lidah boleh berbicara satu juta bahasa. Jika seluruh air di lautan dan sungai di dunia disiramkan di atas kepalanya, nescaya tidak setitikpun akan jatuh melimpah.
Disebutkan, ketika Allah S.W.T mencipta Al-Maut dan menyerahkan kepada malaikat Izrail, maka berkata malaikat Izrail: “wahai Tuhanku, apakah Al-Maut itu?”. Maka Allah S.W.T menyingkap rahsia Al-Maut itu dan memerintah seluruh malaikat menyaksikannya. Setelah seluruh malaikat menyaksikannya Al-Maut itu, maka tersungkurlah semuanya dalam keadaan pengsan selama seribu tahun.
Setelah para malaikat sedar kembali, bertanyalah mereka: “Ya Tuhan kami, adakah makhluk yang lebih besar dari ini?” Kemudian Allah S.W.T berfirman: “Akulah yang menciptakannya dan Akulah yang lebih Agung daripadanya. Seluruh makhluk akan merasakan Al-Maut itu”.
Kemudian Allah SWT berfirman: “Hai Izrail, ambillah Al-Maut itu, dan Aku telah menyerahkannya kepada mu”. Maka malaikat Izrail pun berkata: “Ya Tuhanku, apa dayaku untuk mengambil nya sedangkan ia lebih agung dari ku”. Kemudian Allah SWT memberikan kekuatan, sehinggalah Al-Maut itu menetap di tangannya.
Setelah itu Al-Maut berkata: “Ya Tuhanku, izinkanlah aku untuk berseru di dalam langit sekali sahaja”. Maka, setelah diizinkan, berserulah ia dengan suara yang amat keras: “Aku ini adalah Al-Maut, tugasku sebagai pemisah orang yang saling mencintai. Aku adalah Al-Maut, tugasku memisahkan antara anak dan ibunya. Aku adalah Al-Maut, tugasku memisahkan saudara lelaki dan wanita. Aku adalah Al-Maut, tugasku menghancurkan bangunan rumah dan gedung-gedung, Aku adalah Al-Maut, tugasku meramaikan kuburan. Aku adalah Al-Maut, tugasku mencari dan mendatangi kamu semuanya, walaupun kamu berada dalam lapis benteng yang amat kuat. Dan tiada satupun makhluk yang tidak merasakan kepedihanku”.
Malaikat Izrail diberi kemampuan yang luar biasa oleh Allah S.W.T sehingga arah barat dan timur dapat dijangkau dengan mudah olehnya sebagaimana keadaan seseorang yang sedang menghadapi sebuah meja makan yang dipenuhi dengan pelbagai macam makanan yang siap untuk dimakan. Ia juga boleh membolak-balikkan dunia sebagaimana kemampuan seseorang boleh membolak-balikkan wang syilling.
Sewaktu malaikat Izrail a.s menjalankan tugasnya mencabut nyawa makhluk-makhluk dunia, ianya akan turun ke dunia bersama-sama dengan dua kumpulan malaikat iaitu malaikat Rahmat dan malaikat Azab.

KISAH ALLAH MENCIPTAKAN MIKAIL A.S


Malaikat Mikail a.s adalah salah satu di antara pembesar malaikat yang empat. Ia dicipta oleh Allah S.W.T selepas malaikat Israfil dengan selisih kira-kira lima ratus tahun. Dari kepala malaikat Mikail hingga kedua telapak kakinya berbulu Za’faron. Jika seluruh air di lautan dan sungai di muka bumi ini disiramkan di atas kepalanya, nescaya tidak setitikpun akan jatuh melimpah. Di atas setiap bulu-bulunya, terdapat sebanyak satu juta muka.
Setiap muka malaikat Mikail ini pula mempunyai satu juta mulut dan setiap mulut mempunyai satu juta lidah manakala setiap lidah-lidahnya boleh berbicara satu juta bahasa atau lisan. Setiap satu juta lisan tersebut adalah membaca istighfar pada Allah S.W.T bagi orang-orang mukmin yang berdosa.
Setiap satu juta muka atau wajahnya mempunyai satu juta mata. Tiap-tiap matanya sentiasa menangis kerana memohon rahmat bagi orang-orang mukmin yang berdosa. Tiap-tiap matanya yang menangis itu mengeluarkan tujuh ribu titisan air mata dan setiap titisan air mata itu Allah S.W.T ciptakan satu malaikat Karubiyyuun yang serupa dengan kejadian malaikat Mikail Setiap malaikat-malaikat ini ditugaskan untuk bertasbih pada Allah S.W.T sehingga hari kiamat.
Di samping bertasbih, para-malaikat Karubiyyuun ini juga berperanan sebagai pembantu bagi malaikat Mikail dalam menjalankan tugas menyelia angin, membahagikan rezeki pada manusia, tumbuh-tumbuhan juga haiwan-haiwan dan lain-lain di muka bumi ini. Dikatakan setiap satu makhluk yang memerlukan rezeki untuk hidup di dunia ini akan diselia rezekinya oleh satu malaikat Karubiyyuun.
Imam Ahmad rah. dengan sanadnya, dari Anas bin Malik r.a, ketika Rasulullah s.a.w Mikraj ke langit baginda ada bertanya pada malaikat Jibrail: “Mengapa aku tidak pernah nampak malaikat Mikail tertawa?”
Malaikat Jibrail menjawab: “Malaikat Mikail tidak pernah tertawa semenjak neraka diciptakan”

KISAH ALLAH MENCIPTAKAN ISRAFIL A.S


Malaikat Israfil a.s adalah salah satu di antara empat malaikat yang paling mulia dan bersaiz besar di sisi Allah S.W.T Ia ditugaskan untuk meniup sebanyak tiga kali tiupan sangkakala pada hari kiamat. Seperti malaikat-malaikat yang lain ia diperbuat dari Nur. Ia berbulu dari kepala hingga kedua telapak kakinya dan mempunyai banyak mulut dan lidah. Jika seluruh air di lautan dan sungai di dunia disiramkan di atas kepalanya, nescaya tidak setitikpun akan jatuh melimpah.
Jumlah sayap malaikat Israfil a.s itu ada empat. Sayapnya yang pertama panjangnya sampai ke barat, sayapnya yang kedua sampai ke timur, yang ketiga boleh menutupi seluruh badannya dan yang keempat menutupi kepalanya. Ia mempunyai seribu tentera malaikat yang serupa dengan kejadiannya.
At-Tabrani meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a:”Sewaktu Rasulullah s.a.w bersama-sama dengan malaikat Jibrail tiba-tiba ufuk langit terpecah, maka menghadaplah satu lembaga malaikat tertunduk dan condong ke bumi. Berkata malaikat itu: “Hai Muhammad, sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu agar memilih antara menjadi nabinya hamba atau jadi rajanya nabi”.
Adapun “rajanya nabi” mengerjakan apa yang diwajibkan oleh Allah S.W.T kepadanya dan tidak melakukan apa yang diharamkan oleh Allah S.W.T kepadanya. Ia menjalankan pemerintahan atau kerajaannya dan membelanjakan harta negara terhadap hal-hal yang dicintai dan diredhai oleh Allah S.W.T. Mereka menghindari dari sesuatu yang menimbulkan dosa. Nabi yang menjadi raja adalah seperti nabi Sulaiman a.s, nabi Daud a.s dan lain-lain. Adapun “nabinya hamba” tidak memberikan sesuatu kepada seseorang kecuali dengan perintah Allah S.W.T. Ia tidak memberikan kepada sesiapa yang dikehendakinya dan tidak menghalangi kepada sesiapa yang mengkehendakinya, dia hanya memberi dan menghalangi atas perintah Allah S.W.T.
Rasulullah S.A.W bersabda: “Jibrail memberi isyarat kepadaku dengan tangannya agar merendah. Maka tahulah aku bahawa itu nasihat untukku, maka aku berkata, “hambanya nabi”. Kemudian malaikat itu naik ke langit maka aku berkata, hai Jibrail, aku sungguh ingin bertanya hal ini kepadamu, tapi aku melihat halmu menyusahkan aku untuk mengemukakan pertanyaan itu. Siapakah itu wahai Jibrail? Jibrail menjawab, Itulah dia malaikat Israfil Allah menciptakannya pada hari kejadiannya di hadapannya dengan dua kakinya lurus bersaf, tidak pernah mengangkat hujungnya.”
Ia tertutup di dalam beberapa lapisan dinding. Disebutkan bahawa jarak di antara malaikat Israfil dengan Arasy dilapisi dengan tujuh dinding yang mana satu dinding adalah sejauh lima ratus tahun perjalanan dan jarak malaikat Israfil dengan malaikat Jibrail kira kira tujuh puloh dinding. Imam Ahmad r.a.h. meriwayatkan dari Abu Said r.a, Rasulullah s.a.w ada menyebutkan tentang malaikat peniup sangkakala, dengan sabdanya: “Disebelah kirinya ada malaikat Jibrail dan disebelah kanannya ada malaikat Mikail”
Salah satu tiang Arasy berada di atas pundaknya. Menurut riwayat, Lauhil Mahfuzh itu bergantungan di bawah Arasy dan malaikat Israfil berada di hadapan Lauhil Mahfuzh tersebut. Adapun apabila setiap keputusan Allah S.W.T tercatit di Lauhil Mahfuzh, maka terbukalah dinding-dinding yang menghalanginya dan malaikat Israfil pun melihatnya. Apabila ia adalah tugas malaikat Jibrail, maka malaikat Israfil akan memerintahkan malaikat Jibrail untuk melaksanakanya, begitu juga apabila untuk tugasan-tugasan malaikat Mikail dan malaikat Izrail, ia akan memerintah mereka untuk melaksanakannya.
Malaikat Israfil a.s sentiasa meletakkan terompet sangkakala di mulutnya. Disebutkan bahawa terompet malaikat Israfil itu bercabang empat. Satu cabang diarahkan ke barat, satu ke timur, satu ke bawah bumi dan satu diarah kan ke langit yang ke tujuh. Adapun lingkaran kepala terompet itu selebar langit dan bumi. Di dalamnya terdapat pintu-pintu sebanyak bilangan para arwah. Ada tujuh puluh rumah di dalamnya. Di antaranya rumah arwah para Nabi a.s, arwah para manusia, para jin, syaitan, binatang, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain.
Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda tentang terompet malaikat Israfil: “Terompet itu adalah sebuah tanduk raksaksa yang terdiri dari cahaya. Besar tiap lingkaran dalam tanduk itu selebar langit dan bumi. Terompet itu akan ditiup tiga kali. Tiupan pertama membuat makhluk takut, tiupan kedua membuat makhluk mati, tiupan ketiga untuk membangkitkan makhluk dari kubur”.
Warna malaikat Israfil adalah kuning tua, sedangkan sebab musabab wajahnya menjadi kuning adalah kerana getaran rasa takut kepada Allah S.W.T yang selalu meliputi malaikat Israfil Sabda Rasulullah s.a.w: “Bagaimana manusia boleh merasa senang sedangkan malaikat peniup sangkakala telah bersiap sedia meniupnya dan menundukkan keningnya serta memasang telinganya siap menunggu perintah”.

KISAH ALLAH MENCIPTAKAN JIBRAIL A.S.


Telah bersabda Rasulullah S.A.W bahawa, “Sesungguhnya Allah telah menciptakan malaikat Jibrail dengan bentuk yang sangat elok. Jibrail mempunyai 124,000 sayap dan di antara sayap-sayap itu terdapat dua sayap yang berwarna hijau seperti sayap burung merak, sayap itu antara timur dan barat. Jika Jibrail menebarkan hanya satu daripada beberapa sayap yang dimilikinya, maka ia sudah cukup untuk menutup dunia ini”.
Setelah memandang dirinya yang tampak begitu indah dan sempurna, maka malaikat Jibrail pun berkata kepada Allah, “Wahai Rabbku, apakah Engkau menciptakan makhluk lain yang lebih baik daripada aku?” Kemudian Allah pun menjawab pertanyaan malaikat Jibrail, “Tidak”. Mendengar jawapan Allah, maka malaikat Jibrail pun berdiri dan melakukan solat dua rakaat untuk bersyukur kepada Allah. Pada setiap rakaat solat yang dikerjakan oleh malaikat Jibrail, dia menghabiskan masa selama 20,000 tahun lamanya.
Setelah malaikat Jibrail selesai melaksanakan solatnya, kemudian Allah pun berfirman kepadanya, “Wahai Jibrail, kamu telah menyembah Aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh dan tidak ada seorang pun yang menyembahKu seperti ibadah yang kamu lakukan, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia, yang paling Aku cintai bernama Muhammad. Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa.
Seandainya mereka mengerjakan solat dua rakaat walau hanya sebentar dan dalam keadaan lupa serta serba kurang, dengan pikiran yang melayang-layang dan dosa mereka pun besar, maka demi kemuliaanKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu lebih Aku sukai daripada solatmu. Hal tersebut kerana mereka telah mengerjakan solat itu atas perintahKu sedangkan solat kamu bukan atas perintahKu”.
Setelah mendengar hal tersebut, Jibrail pun kembali bertanya kepada Allah, “Ya Rabbku, apakah yang Engkau berikan kepada mereka sebagai ganjaran atas ibadah mereka kepadaMu?” Maka Allah berfirman yang ertinya, “Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma’waa sebagai tempat tinggal mereka”. Malaikat Jibril kemudian meminta izin kepada Allah untuk melihat syurga Ma’waa tersebut.
Setelah Allah memberikan izin kepadanya, maka malaikat Jibrail pun mengembangkan sayapnya dan terbang menuju syurga Ma’waa. Satu hayunan sayap malaikat Jibrail adalah sama dengan jarak perjalanan selama 3000 tahun. Maka terbanglah malaikat Jibrail selama beberapa lama perjalanan, malaikat Jibrail akhirnya kepenatan dan turun untuk singgah dan berteduh di bawah sebuah pohon. Di sana ia bersujud kepada Allah lalu berkata, “Ya Rabbku, apakah aku telah menempuh setengah atau sepertiga atau seperempat dari perjalanan menuju ke syurga Ma’waa?”
Maka Allah pun berfirman, “Wahai Jibrail, meskipun kamu mampu terbang selama 3000 tahun dan meskipun Aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa puluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan”.
Sabda Rasulullah, “Sebelah kanan sayap Jibrail terdapat gambar syurga berserta dengan segala isinya termasuk bidadari-bidadari, istana, pelayan dan sebagainya manakala sayapnya yang sebelah kiri terdapat gambar neraka dan segala isinya yang terdiri daripada beberapa macam ular yang cukup bisa, kala jengking dan neraka yang bertingkat-tingkat serta penjaganya yang terdiri daripada malaikat yang garang dan ganas yakni malaikat Zabaniyah“.
Kata Rasulullah lagi, “Apabila telah sampai ajal seseorang itu, maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang kecil pada badan manusia kemudian mereka akan menarik rohnya dari kedua telapak kaki hingga lutut dan mereka pun keluar. Setelah itu datang lagi sekumpulan malaikat masuk menarik roh dari lutut ke perut. Begitulah seterusnya dari perut ke dada dan dada ke kerongkongnya. Itu saat nazak seseorang”.
“Kalau orang yang nazak itu orang beriman, maka malaikat Jibrail akan menebarkan sayapnya yang sebelah kanan sehingga orang itu dapat melihat kedudukannya di syurga sehingga terlupa orang-orang di sekelilingnya. Jika orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail akan menebarkan sayap sebelah kiri untuk menunjukkan tempatnya di neraka sehinnga ia menjadi sangat takut serta lupa kepada keluarganya”, kata Rasulullah.


Ketika Allah S.W.T memerintahkan malaikat Jibrail turun untuk memusnahkan kaum nabi Lut a.s, dikatakan malaikat Jibrail a.s mampu mengangkat kesemua 7 bandar yang didiami oleh 400,000 orang, haiwan, rumah serta bangunan dan kesemuanya hanya dengan menggunakan hujung satu sayapnya sahaja. Lalu diangkat hingga ke permukaan langit sehingga para malaikat yang berada di langit dapat mendengar bunyi kokokan ayam dan lolongan anjing yang turut berada dalam bandar tersebut. Kemudian malaikat Jibrail a.s membalikkan bandar-bandar tersebut hingga menjadilah bahagian atasnya terlungkup ke bawah.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Jibrail sentiasa mengharap hendak menjadi manusia kerana tujuh perkara:-

1.    Sembahyang lima waktu sewaktu berjemaah
2.    Duduk bersama para ulamak
3.    Menziarahi orang sakit
4.    Menghantar jenazah
5.    Memberi air minum
6.    Memdamaikan di antara 2 orang yang bermusuh-musuhan
7.    Memuliakan jiran dan anak-anak yatim
maka bersungguh-sungguhlah kamu di dalam perkara tersebut".

Kita sebagai umat Islam mesti mengakui kebenaran ini dan ia adalah sama seperti kita beriman kepada perkara ghaib. Tidaklah mustahil bagi Allah untuk menciptakan segala sesuatu kerana Dia maha pencipta. Cukuplah sekadar kita melihat langit yang tidak bertiang, bukankah ia perkara mustahil bagi manusia untuk membuatnya?

Rabu, 26 Disember 2012

UMAT ISLAM MENGIKUT LANGKAH - LANGKAH YAHUDI DAN NASRANI


Ertinya:

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a. berkata: Bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka”. Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nashrani yang kau maksudkan?”. Nabi saw menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka”. (H.R. Muslim)

Keterangan

Umat Islam akan mengikut jejak langkah ataupun ‘cara hidup’ orang-orang Yahudi dan Nashrani, hinggalah dalam urusan yang kecil dan perkara-perkara yang tidak munasabah. Contohnya, jikalau orang Yahudi dan Nashrani masuk ke lubang biawak yang kotor dan sempit sekalipun, orang Islam akan terus mengikut mereka.

Zaman sekarang ini kita dapat melihat kenyataan sabda Rasulullah s.a.w ini. Ramai orang Islam yang kehilangan pegangan di dalam kehidupan. Mereka banyak meniru ‘cara hidup’ Yahudi dan Nashrani samaada mereka sedar atau tidak. Ramai orang Islam yang telah terperangkap dengan tipu helah Yahudi dan Nashrani dan ramai pula yang menjadi alat dan tali barut mereka.

Ya Allah! Selamatkan kami daripada mereka.

Selasa, 25 Disember 2012

10 NASIHAT LUQMAN AL HAKIM

1) Hai anakku! Orang-orang yang selalu menyediakan dirinya untuk menerima nasihat maka dirinya akan mendapat penjagaan daripada Allah; orang yang membolehkan dirinya insaf dan sabar menerima nasihat orang lain, tandanya ia akan sentiasa menerima kemuliaan daripada Allah; berasa hina diri dlm ibadat dan bertaat kepada Allah Taala akan menimbulkan rasa lebih dekat kepadaNya dan boleh menghindarkan diri daripada maksiat.

2) Hai anakku! Jauhkanlah dirimu daripada berhutang; sesungguhnya berhutang itu menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

3) Hai anakku! Kalau engkau berteman, tempatkanlah dirimu sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripada temanmu itu, dan pasti dia akan selalu mengharapkanmu.

4) Hai anakku! Engkau sudah merasakan bagaimana beratnya membawa batu yang besar, besi yang berat dan lain-lain yang sangat berat, tetapi akan lebih berat lagi dari itu, bila kau mempunyai tetangga yang jahat.

5) Hai anakku! Engkau jauhilah bersifat dusta, sebab berdusta itu enak sekali mengerjakannya, seperti enaknya memakan daging burung; walau sedikit sahaja berdusta, akibatnya tetap akan memberi bahaya.

6) Hai anakku! Kalau bertemu dua perkara, antara menjenguk orang mati dengan menghadiri majlis perkahwinan maka pergilah menjenguk orang mati, sebab akan mengingat diri pulang ke kampung akhirat, sedang menghadiri pesta kahwin hanya mengingatkan diri kepada kesenangan duniawi sahaja.
7) Hai anakku! Janganlah engkau makan sampai berlebih-lebihan. Sesungguhnya memberi makanan yang engkau makan sampai kenyang berlebih-lebihan itu kepada seekor anjing adalah lebih baik daripada engkau memakannya.

8) Hai anakku! Janganlah engkau terus-menerus menelan kerana manisnya sesuatu, dan jangan pula lekas engkau muntahkan kerana pahitnya..(yang manis itu biasanya mendatangkan penyakit, sedang yang pahit bisa menjadi ubat)

9) Hai anakku! Makanlah makanan bersama-sama dengan orang-orang yang bertaqwa kepada Allah, rundingkanlah urusanmu dengan alim ulama (dengan cara meminta nasihat kepadanya)

10) Hai anakku! Bukanlah baik namaya bila engkau selalu mempelajari segala macam ilmu yang belum engkau ketahui, sedang ilmu yang sedang diperoleh belum lagi engkau amalkan. Hal seperti ini tak ubahnya seperti perbuatan seseorang yang mencari kayu api, setelah dikumpulkannya lalu dipikulnya tetapi dia tak larat membawanya, namun dia terus menambah lagi.

NASIHAH IMAM AL GHAZALI


Suatu hari, Imam Al Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya. Lalu Imam Al Ghazali bertanya,  Soalan pertama, "Apa yang paling dekat dengan diri kita  di dunia  ini?".

Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru,  teman, dan kerabatnya.

Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar.  Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah "Mati". Sebab itu sudah janji Allah SWT  bahwa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Ali Imran 185)

Lalu Imam Ghazali meneruskan pertanyaan yang kedua. "Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?".

Murid -muridnya ada yang menjawab negara  Cina, bulan, matahari, dan bintang-bintang.

Lalu Imam Ghazali menjelaskan  bahwa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar.  Tapi yang paling benar adalah masa lalu. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap  kita tidak bisa kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang  dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.

Lalu Imam Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga. "Apa yang paling besar di dunia ini?".

Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi,  dan matahari.

Semua jawapan itu benar kata Imam  Ghazali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah "Nafsu" (Al A'Raf 179)  Maka kita  harus hati-hati dengan nafsu kita,  jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka.

Pertanyaan keempat adalah, "Apa yang paling berat di dunia ini?".

Ada yang menjawab baja, besi, dan gajah.

Semua jawapan hampir benar, kata Imam  Ghazali, tapi yang paling berat adalah "Memegang AMANAH" (Al Ahzab 72). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika  Allah SWT meminta mereka untuk menjadi kalifah (pemimpin) di dunia ini.  Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah SWT, sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka karena ia tidak bisa memegang amanahnya.

Pertanyaan yang kelima adalah, "Apa yang paling ringan di dunia ini?".

Ada  yang menjawab kapas, angin, debu, dan daun-daunan.

Semua itu benar kata Imam  Ghazali, tapi yang paling ringan di dunia ini adalah meninggalkan Sholat. Gara-gara pekerjaan kita tinggalkan sholat,  gara-gara meeting kita tinggalkan sholat.

Lantas pertanyaan keenam adalah, "Apakah yang paling tajam di dunia ini?".

Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang...

Benar kata  Imam Ghazali,  tapi yang paling tajam adalah "lidah manusia". Karena melalui lidah, manusia  dengan gampangnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.