9 ZULHIJJAH TAHUN 10 HIJRAH, DI LEMBAH
URANAH, GUNUNG 'ARAFAH
"Wahai manusia dengarlah
baik-baik apa yang hendak ku katakan !!! Aku tidak mengetahui apakah aku dapat
bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan
teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat
hadir di sini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu
menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci maka anggaplah jiwa dan harta
setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan
kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.
Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar
orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahwa sesungguhnya kamu akan
menemui Tuhan kamu dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas segala amalan
kamu. Allah telah mengharamkan riba', oleh itu segala urusan yang melibatkan
riba' hendaklah dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi
keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam
perkara-perkara besar maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam
perkara-perkara kecil.
Wahai manusia, sebagaimana kamu
mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai atas kamu. Sekiranya
mereka menyempurnakan mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi
makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.
Layanilah wanita-wanita kamu dengan
baik! dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah
teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka
sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah
kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah
bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali
sehari, berpuasalah di Bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat dan harta kekayaan
kamu dan kerjakanlah ibadah haji sekiranya mampu.
Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah
saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak ada seorangpun
yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan amal soleh.
Ingatlah bahawa kamu akan mengadap
Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan atas segala apa yang telah
kamu lakukan. Oleh itu, awasilah tindak-tanduk kamu agar jangan sekali-kali
kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi
atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu
wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah
disampaikan kepada kamu.
Sesungguhnya aku tinggalkan kepada
kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya
nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.
Hendaklah orang-orang yang mendengar
ucapanku ini menyampaikannya pula kepada orang lain dan hendaklah orang yang
lain itu menyampaikannya pula kepada orang lain dan begitu seterusnya.
Semoga orang yang terakhir yang
menerimanya lebih memahami kata-kataku ini dari mereka yang mendengar terus
dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya aku telah sampaikan risalah-Mu kepada
hamba-hamba- Mu. "