Manusia diciptakan dari Nabi Allah Adam a.s. dan Adam pula dijadikan oleh Allah S.W.T dari tanah. Hanya Adam a.s dijadikan daripada hakikat tanah manakala manusia dijadikan daripada air mani yang terpancar daripada dua tulang sulbi manusia.
Allah S.W.T telah berfirman dalam Surah Shad: 71-74
"Ingatlah ketika Tuhanmu berfiman kepada malaikat:
"Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah. Maka apabila telah
Ku sempurnakan kejadiannya dan Ku tiupkan roh(ciptaan) Ku: Hendaklah kamu
bersyukur dengan bersujud kepadanya. Lalu seluruh malaikat bersujud, kecuali
Iblis. Dia menyombongkan diri dan dia termasuk orang-orang yang kafir"
Didalam Surah At-Thariq : 5-7
" Maka hendaklah manusia memikirkan: daripada apakah ia diciptakan?
Dia diciptakan dari air (mani) yang memancar (kedalam rahim). Yang keluar dari
tulang salbi lelaki dan tulang dada perempuan"
Nabi s.a.w bersabda:
"Semua kamu berasal dari Nabi Adam dan adam dijadikan daripada
tanah"
Menurut riwayat ketika, Allah S.W.T menitahkan kepada Malaikat Jibril
a.s supaya turun ke bumi untuk mengambil sebahagian tanah untuk mencipta
manusia, bumi tidak membenarkan tanahnya diambil untuk dijadikan manusia kerana
bumi khuatir manusia akan melakukan kemungkaran kepada Allah S.W.T. Lalu Jibril
a.s kembali ke hadrat Allah S.W.T memberitahu bahawa ia tidak dapat berbuat
apa-apa apabila mendengar sumpah bumi.
Setelah itu, Allah S.W.T memerintah malaikat Mikail a.s pula untuk turun
ke bumi bagi mendapatkan tanah sebagaimana Malaikat Jibril a.s. Jawapan bumi tetap
sama sebagaimana Jibril a.s lalu Allah S.W.T memerintahkan pula kepada malaikat
Israfil dan jawapan bumi masih tidak berganjak. Masing-masing kembali dengan
jawapan yang sama.
Akhirnya, Allah S.W.T menyuruh malaikat Izrail a.s turun ke bumi. Allah
S.W.T berfirman :
"Hai Izrail! Engkaulah kini yang aku tugaskan mengambil tanah.
Meskipun bumi bersumpah-sumpah dengan ucapan, jangan engkau mundur. Katakan
bahawa kerjamu atas perintah dan atas nama Ku."
Apabila Izrail a.s turun ke bumi dan menyampaikan perintah Allah S.W.T
kepada bumi, maka akhirnya bumi mengizinkan tanahnya diambil. Setelah Izrail
mengambil beberapa jenis tanah, kembalilah ia kehadrat Allah S.W.T.
Lalu Allah S.W.T berfirman lagi:
"Ya Izrail, pertama engkau yang Ku tugaskan mengambil tanah, dan di
kemudian hari nanti akan Aku tugaskan engkau mencabut roh manusia."
Maka Izrail a.s merarasa amat khuatir kerana bimbang akan dibenci oleh
umat manusia. Lalu Allah S.W.T berfirman lagi:
"Tidak, mereka tidak akan memusuhi kamu. Aku yang mengaturnya, dan
Aku jadikan kematian mereka itu bersebab antaranya terbunuh,terbakar, sakit dan
sebagainya."
Jenis-jenis Tanah yang digunakan dalam penciptaan Nabi Adam a.s:
Menurut riwayat tanah yang diambil yang digunakan untuk menjadikan adam
mempunyai lima jenis warna iaitu putih, hitam, kuning, coklat, dan merah. Oleh
yang demikian manusia memiliki berbagai warna kulit. Tanah yang digunakan untuk
menjadikan Adam a.s ialah sebagaimana berikut:
1. Tanah tapak Baitul Maqdis
2. Tanah Bukit Tursina
3. Tanah Iraq
4. Tanah Aden
5. Tanah Al-Kautsar
6. Tanah tapak Baitullah
7. Tanah Paris
8. Tanah Khurasan
9. Tanah(Babylon)
10. Tanah India
11. Tanah Syurga
12. Tanah Tha'if
Menurut Ibnu Abbas:
1. Kepala Adam a.s dari tanah Baitul-Muqaddis kerana
di situlah berada otak manusia, dan di situlah tempatnya akal.
2. Telinganya dari tanah Bukit Thursina, kerana dia
alat pendengar dan tempat menerima nasihat.
3. Dahinya dari tanah Iraq ,kerana disitu tempat sujud
kepada.
4. Mukanya dari tanah Aden , kerana di situ tempat
berhias dan tempat kecantikan.
5. Matanya dari tanah telaga Al-Kautsar,tempat menarik
perhatian.
6. Giginya dari tanah Al-Kautsar, tempat
memanis-manis.
7. Tangan kanannya dari tanah Kaabah,untuk mencari
nafkah dan kerjasama sesama manusia.
8. Tangan kirinya dari tanah Paris , tempat
beristinjak.
9. Perutnya dari tanah Babylon . Disitulah tempat
seks(berahi) dan tipu daya syaitan untuk menjerumuskan manusia ke lembah
dosa.
10. Tulangnya dari tanah Bukit Thursina, alat peneguh
tubuh manusia.
11. Dua kakinya dari tanah India , tempat berdiri dan
jalan.
12. Hatinya dari tanah syurga Firdaus, kerana disitulah
iman, keyakinan, ilmu, kemahuan dan sebagainya.
13. Lidahnya dari tanah Tha'if, tempat mengucap
Syahadat,bersyukur dan berdoakan kepada Tuhan.
Proses kejadiannya
1. Ketika Allah S.W.T menjadikan Adam a.s, tanah-tanah
tersebut dicampur dengan air tawar, air masin, air hanyir, angin dan api
sehingga menjadi tanah liat kering yang berasal dari lumpur hitam yang diberi
bentuk. Kemudian Allah S.W.T resapkan Nur (cahaya) kebenaran dalam diri
Adam a.s dengan berbagai macam "sifat".
2. Sesungguhnya tanah yang akan dijadikan "tubuh
Adam" adalah tanah pilihan. Maka sebelum dijadikan patung, tanah
itu dicampurkan dengan rempah-rempah dan wangi-wangian dari sifat Nur sifat
Allah S.W.T.
3. Kemudian tubuh itu dibenamkan di dalam air "Kudral-Izzah-Nya" .
Lalu terciptalah tubuh Adam a.s yang sempurna.
4. Demikian pula roh,ketika itu diperintah masuk ke
dalam tubuh Adam a.s, ia merasa malas dan enggan, lalu ia berputar-putar,
mengelilingi patung Adam a.s yang terlantar. Kemudian Allah S.W.T menyuruh
malaikat Izrail a.s untuk memaksa roh itu masuk. Akhirnya mahu tidak mahu roh
itupun masuk dan menyerah kepada Izrail a.s.
Menurut riwayat ketika Adam a.s masih berada di syurga, sangat baik
sekali kulitnya. Tidak seperti warna kulit manusia. Kerana Adam a.s telah diturunkan
ke dunia, terjadilah perubahan pada warna kulitnya. Sebagai pengetahuan, yang
masih tertinggal warnanya hanyalah pada kuku manusia. Oleh itu, meskipun orang
kulitnya hitam, tetapi warna kukunya adalah sama, ialah putih kemerah-merahan.
Dijadikan pada tubuh Adam a.s ada sembilan rongga atau liang. Tujuh
buah liang dikepala, dan dua buah liang di bawah badan letaknya.Tujuh buah
letaknya adalah:
1. Di Kepala ialad Dua liang mata, Dua liang telinga,
Dua liang hidung dan sebuah liang mulut.
2. Dibawah ialah Sebuah liang kemaluan dan liang
dubur.
Dijadikan pula lima buah pancaindera:
1. Mata alat penglihatan
2. Hidung alat penciuman
3. Telinga alat pendengaran
4. Mulut alat merasa manis, masin dan sebagainya.
5. Anggota tubuh lainya seperti kulit, telapak tangan,
untuk merasa halus, kasar dan sebagainya.
Setelah Roh masuk ke dalam tubuh Adam a.s, lalu roh itu masuk
perlahan-lahan sehingga ke kepalanya yang mengambil masa 200 tahun. Demikianlah
Allah S.W.T memberi kekuatan pada Izrail a.s untuk memasukkan roh ke dalam
tubuh Adam a.s. Setelah roh meresap ke kepala Adam a.s, maka terjadilah otak
dan tersusunlah urat-urat sarafnya dengan sempurna. Kemudian terjadilah matanya
dan seketika itu matanya terus terbuka melihat dan melirik kekiri, ke kanan dan
kebawah di mana pada masa itu bahagian badannya masih merupakan tanah keras.
Dilihatnya kiri dan kanan para malaikat yang sedang menyaksikan kejadian dia.
Ketika itu dia telah dapat mendengar para malaikat mengucapkan tasbih dengan
suara yang merdu dan mengasyikkan.
Kemudian ketika roh sampai kehidungnya lalu ia bersin, serta mulutnya
terbuka. Ketika itulah Allah S.W.T ajarkan padanya ucapan Alhamdulillah. Itulah
ucapan Adam a.s pertama kalinya ke hadrat Allah S.W.T. Lalu Allah S.W.T
berfirman "Yarhamukallah" yang membawa erti: "Semoga
engkau diberi rahmat Allah". Oleh kerana itu jika seseorang itu
bersin, menjadi sunat mengucap "Alhamdulillah" dan
orang yang mendengarnya disunatkan pula mengucapkan "Yarhamukallah".
Kemudian ketika roh sampai pada dadanya, tiba-tiba saja ia mahu bangun. Padahal
sebahagian bawah badannya masih tanah dan keras. Di sini menunjukkan sifat
manusia yang suka tergesa-gesa (tidak sabar).
Maka ketika roh itu sampai di bahagian perutnya, maka terjadilah susunan
isi perut dengan sempurna. Seketika itu Adam a.s terasa lapar. Kemudian terus
roh itu meresap sampai ke seluruh tubuh, tangan, kaki lalu terjadi darah daging
dan tulang. Urat-urat berkulit dengan sempurna, yang mana kulit itu kian lama
kian cantik dan halus.
Begitulah proses kejadian-kejadian tubuh Adam a.s. Setelah kejadian Adam
a.s sempurna sebagai manusia, maka dialah merupakan makhluk manusia yang
pertama. Wajahnya cukup cantik, semua malaikat berasa kagum melihat Adam a.s
yang begitu menawan. Kemudian Adam a.s diarak oleh malaikat-malaikat selama 100
tahun lalu diperkenalkan kepada seluruh penghuni dari langit pertama hinggalah
kelangit yang ketujuh sebelum dibawa ke Syurga tempat mula-mula Adam a.s
tinggal.
Siti hawa telah dijadikan oleh Allah S.W.T dari tulang rusuk kiri nabi
Adam a.s ketika berada di dalam Syurga. Ketika mereka telah memakan buah
larangan atas pujukan Iblis maka tertanggallah pakaian mereka dan akhirnya di
turunkan oleh Allah S.W.T di bumi. Menurut riwayat nabi Adam a.s turun di
India. Tetapi mengikut setengah riwayat di Mekah dan terpisah dengan Hawa.
Akhirnya mereka bertemu di Padang Arafah (Padang Perkenalan).
Umur Nabi Adam a.s menurut satu riwayat adalah 930 tahun dan mengikut
riwayat yang lain 934 tahun. Ketinggiannya adalah 60 hasta dan ukuran tapak
kaki Adam a.s sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Kathir ialah 11 jengkal.
Siti hawa telah melahirkan anak sebanyak 40 kali dan setiap kali beranak adalah
kembar lelaki dan perempuan. Oleh yang demikian mengikut syariat yang ada pada
waktu itu maka dibenarkan berkahwin adik beradik tetapi dengan syarat bukan
dengan kembar yang lahir sekali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan